Oleh FUAD HADINATA YAACOB
SEBUT saja makanan Johor, pasti ramai terbayangkan aneka menu lazat dan menyelerakan hasil daripada kepelbagaian keturunan masyarakatnya seperti Jawa, Bagan, Arab mahupun Bugis.
Nasi beriani gam, mi bandung Muar, mi soto, mi rebus, lontong, mi Jawa, laksa Johor atau nasi ambeng memang sinonim dengan negeri yang terletak di selatan Semenanjung Malaysia itu.
Kini, hidangan yang menjadi sebutan dan pilihan ramai itu boleh didapati di mana saja, termasuk Lembah Klang yang semakin hari gerai atau restoran tumbuh bagai cendawan.
Menyedari menu istimewa Johor ada pengikut sendiri, Restoran Mat’s Bess & Katering di Subang Jaya, Selangor diwujudkan dengan menyajikan masakan Johor asli sebagai hidangan utama.
Pemiliknya, Mejar (B) Mohammed Nasir, berkata restorannya mengambil langkah berani dengan menyediakan makanan Johor saja, terutama yang sukar dihasilkan dan dicari seperti botok-botok (ikan tenggiri) dan telur pindang.
Katanya, bagi orang Johor, dua menu itu menawarkan keunikan tersendiri, apatah lagi bila dijamah bersama nasi putih.
Selain botok-botok dan telur pindang, restoran yang ditubuhkan sejak Ogos lalu itu menyajikan makanan lain, antaranya nasi beriani gam, nasi lemak kukus, mi rebus Johor, lontong Johor, mi bandung, soto madura dan pecal.
Menariknya di sini, boleh dikatakan semua makanan dihidangkan dalam ‘clay pot’ atau mangkuk tanah liat.
Jika ke sini, pengunjung mesti mencuba nasi beriani gam ayam kampung ‘clay pot’. Menu lain daripada kebiasaan itu sungguh enak dan lazat, apatah lagi bila dijamu ketika masih panas.
Mohammed Nasir berkata, penggunaan ‘clay pot’ menaikkan bau atau aroma nasi beriani, selain membuka selera ketika dihidangkan dalam keadaan panas.
“Biasanya kita jumpa nasi beriani dalam pinggan tetapi di sini, ia dihidangkan dalam ‘clay pot’ dengan rasanya lebih sedap dan bau yang menyelerakan,” katanya yang juga dikenali sebagai Wak Bu.
Beliau berkata, restoran yang dibuka dari jam 7 pagi hingga 10.30 malam itu menyediakan dua kategori juadah utama untuk pagi, petang dan malam.
Pagi ditawarkan nasi lemak kukus (RM1.50) dengan lauk rendang daging (RM2.50), paru-paru (RM2.50) atau ayam goreng (RM3), soto madura (RM3.50), lontong Johor (RM3.50) dan roti bakar (RM1.50).
Untuk tengah hari, petang hingga ke malam pula, pengunjung boleh memilih menu antaranya nasi beriani gam ayam kampung (RM10), botok-botok bersama nasi (RM6.50), mi rebus Muar (RM3.50), mi bandung Muar (RM4), mi rebus dan sotong (RM4.50), beriani gam Muar ‘clay pot’ dengan satu set daging (RM8.50), ayam (RM9) dan kambing (RM10).
Selain itu, pengunjung boleh memilih menu lain seperti murtabak mat (RM2.50), mi goreng mamak (RM3.50), tom yam sup (RM4.50), nasi goreng kampung atau cina (RM4), telur pindang (RM1) dan beriani gam tanpa ‘clay pot’ iaitu daging (RM7), ayam (RM7) dan kambing (RM8).
Untuk menghilangkan dahaga, Restoran Mat’s Bess & Katering menawarkan air ‘rindu bayangan’ iaitu campuran asam jawa dan karbonat (RM2.50), ‘dendam tak sudah’ gandingan limau kasturi dan air karbonat (RM2.50), sirap bandung (RM1.80), teh halia (RM1.30) dan air nanas madu (RM3).
Pendek kata, jika menikmati hidangan di sini, pengunjung akan pulang dengan wajah puas dan kenyang.
Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Mohammed Nasir di talian 012-3136149 atau datang terus ke No: 97, Jalan SS 15/5A, Subang Jaya, Selangor (berdekatan Carrefour).
Selasa, Oktober 17, 2006
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan